LATAR BELAKANG

Doa

'Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani'

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Segala puji hanya untuk Mu Ya Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. kepada sekalian keluarga, sahabat dan seluruh kaum Muslimin sekalian. Kami berhimpun di Dewan yang indah di pagi yang gilang gemilang dan penuh berkat ini, dalam suasana kusyuk dan tawadduk, kami mohon limpah kurnia, inayah dan riayah, taufik dan hidayah agar kami dikurniakan kesihatan dan kekuatan, tekad dan azam dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Ya Allah Ya Aziz Ya Ghaffar, Kami sentiasa menadah tangan memohon restu dari Mu Ya Allah untuk kedua ibu bapa kami yang telah memelihara, membesar dan mendidik kami ke jalan yang Kau redhai, bebaskanlah mereka daripada azab seksa kubur dan azab sengsara neraka, kurniakanlah nikmat secukupnya, kesihatan sepanjang hayatnya, rahmat selengkapnya. Tempatkanlah mereka bersama orang yang mendapat keampunan, bersama-sama para Auliya, Syuhada dan Ambia’.

Ya Allah Ya Zalfadli Wal Imtinan, Tuhan yang mempunyai kemuliaan dan kebesaran, anugerahilah azam yang tinggi, kemuliaan budi ke atas para pendidik yang telah mencurahkan tenaga dan idea dalam kepayahan dan keperitan mendidik kami memecahkan kegelapan dan kejahilan yang menyelubungi pemikiran dan hati kami dan menerangi dengan cahaya ilmu dan amal sehingga kami berjaya ke menara yang tinggi, jadikanlah kegigihan dan keikhlasan mereka itu untuk menambahkan kekuatan dan ketinggian martabat mereka sebagai ahli ilmuan yang ulung di negara kami yang bertuah ini.

Ya Allah Ya Zaljudi Wal Ikram, Berikanlah kami kekuatan dan keyakinan serta tingkatkanlah azam kami agar ilmu yang telah Engkau kurniakan dapat kami pergunakan dengan sebaik-baiknya, penuh jujur dan dedikasi semata-mata ke arah membina satu tamadun yang berasaskan kepada wawasan negara, bangsa dan agama.

 

Keris Kuasa

Dalam adat resam kebudayaan Melayu, keris adalah suatu alat kebesaran utama yang melambangkan keagungan, kepahlawanan dan kekuasaan. Penggunaan keris sebagai lambang kuasa universiti ini adalah selaras dengan hasrat negara memupuk kebudayaan kebangsaan.

Keris Ganja Seiras Melela adalah nama yang diberikan kepada keris kuasa universiti ini.Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang ke-VI telah berkenan menganugerahkan keris ini pada hari Isnin, 28 November 1977. Keris ini mula digunakan pada konvokesyen yang kedua pada 3 Disember 1977 sehingga kini.

Keris kuasa ini mempunyai 25 lok. Bilangan lok keris adalah menurut bilangan rasul pilihan iaitu seramai 25 orang. Ukiran panjang keris ini ialah 104 sentimeter dan beratnya 6 kilogram. Mata keris dan juga ganjanya adalah dibuat daripada tembaga kuning. Matanya adalah licin. Hulu keris dibuat daripada gading, berbentuk tapak kuda dan berukir dengan bunga awan larat yang daunnya disilap berbalik-balik. Pendongkoknya ialah emas berbentuk bunga delima yang kembang.


Sarung keris ini pula dibuat daripada perak dan dihias ukiran awan larat. Di sebelah hadapan sarung keris ini terukir indah dalam tulisan jawi nama universiti iaitu UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA. Sampir keris ini berbentuk Sehari Bulan dan berukir dengan bunga awan larat, bunganya timbul dan silap. Di bahagian hadapan sampir keris ini terukir Lambang Negara dan sebelah belakang sampir pula terdapat Lambang Universiti.Kedua-dua lambang itu dibuat daripada emas.

 

Perarakkan

Perarakan memasuki Dewan adalah satu tradisi dalam memulakan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia. Upacara yang dijalankan dengan penuh warna-warni serta penuh tertib melambangkan keagungan betapa besarnya warisan budaya bangsa. Perarakan diserikan dengan alunan muzik gamelan yang menggambarkan keberangkatan raja dengan diiringi oleh pembesar-pembesar negeri semasa baginda berangkat ke tempat bersemayam.
Istiadat memasuki Dewan dimulakan dengan para tetamu mengambil tempat duduk. Ini diikuti dengan kemasukan para graduat yang memakai pakaian akademik universiti.

Sebaik sahaja selesai, Pengerusi Lembaga Pengarah akan berarak masuk, diikuti oleh Ahli Senat Universiti, Pegawai-pegawai Kanan Universiti, Ahli Lembaga Pengarah UTMSPACE, Pengurusan UTMSPACE dan Staf Akademik.